Wednesday, December 8, 2010

Madah Cinta Luka


Antara cinta yang telah berlalu dengan cinta yang sedang menanti kita sentiasa cenderung untuk mengabaikan cinta yang berada jelas di mata dan sering mengharap dan menoleh kepada cinta yang telah berlalu jauh meninggalkan kita.


Kadang-kadang bila kita sudah memiliki sebuah cinta kita terlupa yang cinta itu masih perlu sentiasa dipupuk dan dibajai dengan kasih sayang. Kita terlalu yakin kita akan memiliki cinta itu sampai bila-bila pun. Apabila segalanya berakhir barulah kita akan menyedari kesilapan yang kita telah lakukan. Dan malangnya kesedaran itu sentiasa datang terlambat.


Bila seseorang jatuh cinta ketika dia baru kehilangan kekasih hati maka cinta yang tercipta itu bukanlah cinta sebenar melainkan hanya seperti ubat khayal yang bertindak sementara sahaja dan kemudian akan merosakkan hatinya dua kali ganda malah berganda-ganda lagi selepas itu…kerana sesungguhnya kita boleh menipu orang lain tetapi bukan hati kita sendiri.


Bila cinta putus ditengah jalan usahlah bermuram durja menyakiti diri sendiri. Bangkitlah dan mulakan cinta baru. Kerana setiap cinta yang hilang pasti akan ada pengganti. Usah mengharap pada yang tak pasti, usah merayu pada yang tak sudi. Cinta pertama tidak semestinya yang terbaik. Setiap cinta mempunyai keunikan dan kehangatan yang tersendiri. Janganlah terus terikat kepada cinta yang sudah pergi.


Jika bercinta janganlah kita menjadi hamba cinta. Seperti mana kita tidak mahu menjadi hamba duit kita juga tidak mahu mejadi hamba kepada cinta. Kuasai cinta. Jadilah tuan kepada cinta. Jangan biarkan cinta memperkotak-katikkan hidup. Gunalah akal dan fikiran.


Bila kita kecewa atau putus cinta kita selalu menyalahkan orang lain atas kegagalan cinta itu. Tapi pernahkah kita bermuhasabah dengan diri sendiri apa yang telah kita lakukan sehingga segala-galanya musnah. Kerana tanpa sedar kadang-kadang kita membuat kesilapan yang menutup pintu hati sang kekasih untuk terus mencintai kita. Kadang- kadang kita tewas dengan tipu helah orang ketiga yang sengaja mewujudkan jurang di antara kita. Bila hidup menjadi tidak terurus kerana kecewa ingatlah setiap benda di dunia ini tidak akan kekal lama… tidak terkecuali CINTA. Jadi terimalah realiti… Di mana ada cinta disitu pasti akan ada perpisahan cuma masanya sekarang atau kemudian…


Pengalaman cinta lalu yang telah jauh kita tinggalkan… sesekali lihatlah semula dan nilaikan kembali. Kerana sesungguhnya pengalaman cinta lalu umpama sebuah ensiklopedia yang sangat berharga kepada diri kita. Yang pahit jadikan pengajaran, yang manis pastikan kita sentiasa mengamalkannya dalam setiap episod cinta kita di masa hadapan.Bila cinta beraja di hati kita sanggup berkorban segalanya demi kerana CINTA. Maka maruah dan harga diri digadaikan sebagai jaminan kepada kelangsungan sebuah hubungan. Diketika itu berakhirlah satu ikatan cinta nan suci anugerah Illahi dibayangi oleh satu hubungan baru yang diwarnai dengan noda-noda dosa yang keji dan penuh dengan kepuraan semata-mata.


Biarlah kita menjadi cinta terakhir kepada seseorang kerana mungkin kita sudah terlambat untuk menjadi cinta pertamanya tetapi kita tidak akan pernah terlambat untuk menjadi cinta terakhirnya.


CINTA adalah ibarat air. Kita sangat memerlukannya di dalam hidup namun jika ia ibarat air di lautan ia akan menjadi ombak yang akan mengumbang-ambingkan hidup kita, jika ia ibarat air di kutub utara-selatan maka ia akan menjadi ketulan ais yang membekukan kita, jika ia ibarat air sungai yang mengalir tenang maka ia akan berterusan menghanyutkan kita ke muara, jika ia ibarat air terjun maka akan terhempaslah kita berulang-ulang ke bawah, jika ia ibarat air tasik yang tenang membiru maka kita dalam diam akan menyimpan berjuta keladak di dasarnya. Maka jenis air manakah yang kita inginkan… Carilah mata air yang suci lagi murni…walaupun keluar sedikit demi sedikit tetapi akan melimpahi perigi dan menghilangkan kehausan kita dengan sekali teguk sahaja.
Bibir manusia terlalu mudah melafazkan cinta tapi dapatkah hatinya setia pada kita?… Manusia tidak dapat lari dari bercinta kerana kehadiran cinta itu lazimnya tanpa diundang dan tanpa diharap. Hanya insan itu sahajalah yang dapat menilaikan adakah dirinya sudah bersedia menerima cinta itu atau tidak.


Cintai jangan sesekali dihampiri jika tidak sanggup menanggung risikonya. Cinta sememangnya indah kerana kita hidup dalam khayalan. Cinta sememangnya unik kerana kita asyik diulit mimpi yang indah-indah belaka. Apabila perpisahan mendatang barulah kita tersentak dari lamunan. Kemudian kita akan sedari cinta hanyalah permainan nafsu yang membawa kesengsaraan dan penderitaan yang amat menyeksakan.


Meskipun kesalahan atau kesilapan itu boleh dimaafkan tetapi janganlah berbicara sampai menyakiti dan menyinggung hati orang lain kerana kemaafan itu bukanlah pengubat hati yang terluka kerana hati yang terluka itu tetap akan terluka.
Biarlah kita menguasai cinta, jika gagal bererti kita masih berupaya melawan perasaan kecewa sekalipun teramat pedih, luka dan sengsara.

No comments: